Negara kini berada dalam era perindustrian. Malah beberapa buah kota besar sudah menuju ke arah pasca perindustrian. Ahli-ahli sosiologi mengandaikan masyarakat perindustrian sebagai rumit dengan ahli-ahlinya yang ramai tetapi rata-rata bersifat individualistik dan materialistik. Hubungan kekeluargaan mula renggang dan persaingan menebal dalam banyak perkara. Nilai-nilai masyarakat pertanian seperti yang kita sama-sama kecapi sebelum era 70’an dahulu sudah lama pupus ditelan zaman. Jika kehidupan dalam era masyarakat pertanian dahulu penuh dengan suasana harmonis, damai dan dengan semangat kekitaan yang unggul kini berganti dengan suasana curiga-mencurigai antara satu sama lain. Dalam masyarakat perindustrian persaingan hidup amat sengit tanpa semangat kerjasama di kalangan ahli-ahlinya.
Suasana tidak menentu ini berpunca dari beberapa faktor yang tersurat dan yang tersirat. Di antara contoh-contoh faktor yang tersurat ialah wang, kos hidup yang mahal, cara hidup yang tinggi, pengaruh media cetak dan media elektronik, migrasi dalam negara dan migrasi antara-bangsa. Manakala faktor-faktor yang tersirat pula di antaranya ialah perubahan cara berfikir, persepsi orang ramai terhadap sesuatu keadaan dan tafsiran globalisasi atau dunia tanpa sempadan. Kedua-dua faktor yang tersurat dan yang tersirat ini bukan sahaja mempengaruhi kehidupan dan cara hidup orang ramai tetapi juga aspek-aspek lain dalam kebudayaan Malaysia.
Turut merasai akibat dari faktor-faktor ini ialah organisasi-organisasi formal termasuk produknya, objektifnya, prosedurnya dan programnya. Faktor-faktor yang mempengaruhi keseluruhan organisasi ini meresap, tanpa disedari hingga akhirnya memperlihatkan kesan dan akibat yang boleh membawa pada kerosakan dan kerugian kepada organisasi-organisasi. Untuk mengelakkan dari mengalami kerosakan dan kerugian ini organisasi-organisasi hendaklah sentiasa menilai prestasi mereka dari semasa ke semasa.
Aktiviti menilai sering dikaitkan dengan pengurusan dalam organisasi. Setengah pakar penilaian mendakwa bahawa penilaian adalah berhubungan rapat dengan pengurusan. Pengurus-pengurus yang berwibawa, peka dan perihatian sentiasa mengamalkan aktiviti menilai untuk menjamin bahawa organisasi mereka berjalan pada landasan yang betul, programnya terkawal, produknya mampu menarik minat pengguna manakala objektifnya tidak terpesong dan prosedurnya menepati rancangan asal. Sebaliknya, para pengurus yang mengabaikan aktiviti menilai sering mendapati organisasi mereka kurang maju, prestasi perniagaan merosot dan mudah tewas dalam persaingan. Lihatlah betapa pentingnya penilaian dalam kehidupan sehariaan.
Tetapi aktiviti menilai bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Aktiviti menilai ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya melainkan mesti melalui perancangan yang sempurna, dilaksanakan mengikut prosedur yang betul dan dengan menggunakan instrumen yang bersesuaian. Oleh itu cara melakukan aktiviti menilai ini mesti dipelajari dengan rapi dan teliti. Hanya dengan cara demikian seseorang itu berkebolehan melakukan penilaian sama ada ke atas program, produk, prosedur atau objektif. Atas kesedaran ini di samping permintaan dari pelajar-pelajar dan galakkan dari kawan-kawan pengarang terpanggil untuk mengarang buku ini yang diberi judul “MEMAHAMI PENILAIAN CARA MUDAH”.
Tujuan utama pengarang menulis buku ini adalah untuk mengorientasikan para pembaca dengan erti penilaian, tujuan penilaian dan matlamat penilaian. Seterusnya pembaca diperkenalkan dengan beberapa kaedah menilai dan pendekatan-pendekatan mengutip maklumat penilaian. Akhir sekali pembaca didedahkan dengan matlamat penilain ia itu laporan akhir dan cara-cara menulis atau menyediakan laporan akhir penilaian. Adalah menjadi harapan pengarang supaya para pembaca membaca buku ini dengan penuh tumpuan dan pemahaman supaya di akhir nanti para pembaca mampu melakukan penilaian dengan betul, sempurna dan berkesan supaya dapat mencapai hasil yang maksima.
Pada bahagian tengah buku ini pembaca dibawa meneliti kaedah-kaedah yang dipakai oleh beberapa buah Universiti di Canada menilai program pembelajaran mereka. Tetapi para pembaca harus diingatkan bahawa penilaian tidak hanya dikaitkan dengan pendidikan sahaja. Penilaian mustahak juga dianjurkan ke atas organisasi formal dalam sektor awam atau sektor swasta, badan-badan berkanun dan persatuan-persatuan sukarela. Tegasnya, pengetahuan dalam ilmu penilaian ini boleh diaplikasikan pada banyak perkara termasuk menilai manusia sebagai seorang individu dengan menggunakan beberapa pertunjuk tertentu. Buku ini sangat berguna kepada pengurus-pengurus organisasi pada semua peringkat, eksekutif-eksekutif, pentadbir-pentadbir, pendidik-pendidik dan pelajar-pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi.
Buku “Memahami Penilaian Cara Mudah” ini disempurnakan dengan bantuan beberapa orang. Mereka terdiri dari anak-anak pengarang Hadzli Sulaiman yang menyediakan teks asal dan Ir. Dr. Riza Sulaiman yang menyusun menjadi bentuk buku. Dua orang bekas pelajar kepada pengarang iaitu Ibrahim Bujal (M.A) menguruskan penerbitan dan Jumaddi Shafiai (M.A) melukis grafik pada kulit buku. Mereka ini berperanan penting dalam menyiapkan buku ini di samping ramai lagi pelajar-pelajar yang memberikan galakan dan sokongan kepada pengarang menyiapakan buku ini. Tanpa mereka ini mungkin sukar bagi pengarang mencapai cita-cita ini.
Ini adalah buku pertama ditulis oleh pengarang dalam Bahasa Melayu. Sebelum ini pengarang telah menghasilkan dua buah buku akademik dalam Bahasa Inggeris masing-masing berjudul “Research Methods for the Social Scienes, made simple” dan “ Hypotheses Testing in Social Sciene Research, made simple”. Buku ini adalah yang ketiga dalam siri penerbitan pengarang. Buku yang ke empat dalam Bahasa Inggeris berjudul “From the In-loco-Parentis Doctrine to Education as two-sides of a coin” akan terbit dalam sedikit masa lagi.
Friday, May 15, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment